Monday 9 April 2012

Tragedi Kartini Borhan


Perbuatan jahat seringkali dikaitkan dengan kelakuan yang tidak baik dan tidak sepatutnya dilakukan termasuk mencuri, merompak, memfitnah apatah lagi membunuh. Namun tragedi yang menimpa Almarhumah Kartini Binti Borhan, 27 tahun yang berlaku pada 29 September 2011(Khamis) menunjukkan terdapat juga manusia yang tidak berperikemanusiaan dan mementingkan diri. Arwah Kartini telah dibunuh tanpa belas kasihan melalui satu tikaman dijantungnya yang membawa maut di mana ianya dilakukan oleh puak yang telah jauh tersesat daripada hidayah Allah S.W.T.. Semasa arwah dimandikan betapa indahnya cahaya wajahnya. Hanya Allah S.W.T yang maha mengetahui segalanya malah yang lebih menyedihkan adalah dimana arwah yang mempunyai seorang anak lelaki yang pada ketika itu berumur 7 tahun telah kehilangan ibu pada usia muda.

Selepas arwah  di bawa pada pagi jumaat ke Kota Kinabalu (post – mortem)  di temani ibu ayah dan keluarga, arwah selamat di semadikan di tanah perkuburan Islam Kg.Banjar Keningau,  pada 30 september 2011 (petang Jumaat). Untuk pengetahuan, kereta land rover yang dipandu oleh seorang anggota polis bernama Jerome dari Keningau melalui jalan Kimanis pergi ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu hanya mengambil masa sejam iaitu dari jam 7.30 pagi hingga 8.30 pagi sedangkan masa perjalanan yang sepatutnya adalah selama lebih kurang 2 jam 30 minit. Ini menunjukkan sikap  polis  tersebut yang tidak mengambil peduli keselamatan di jalan raya dan tidak berhati-hati semasa memandu. Ini juga menunjukkan polis tersebut tidak menghormati dan tidak peduli keadaan jenazah arwah yang pada ketika itu terlontar kekiri dan kekanan. Dia memandu dalam had laju yang merbahaya dan ini menunjukkan dia tidak berfikir akan tentang keselamatan keluarga arwah yang ikut mengiringi di dalam kereta tersebut ditambah lagi keadaan bapa kepada arwah yang pada ketika itu kurang sihat. Ahli keluarga lain yang ikut mengiringi menggunakan kereta persendirian tidak dapat mengikut kenderaan yang dipandu oleh Jerome kerana terlalu laju. Sesampainya di Hospital Queen Elizabeh, Kota Kinabalu bapa arwah kemudiannya menggunakan kereta jenazah Islam persendirian untuk keselamatan dan tidak menaiki kereta land rover yang dipandu oleh polis tersebut. 

Dalam kes ini, seorang pegawai polis telah dikatakan saksi kepada kejadian bunuh tersebut dimana polis tersebut ialah Inspektor Ahmad Rizal Omar berusia 29 tahun. Dalam laporan beliau mengatakan dia mendapat panggilan daripada arwah yang meminta bantuan apabila mendapati seorang lelaki tidak di kenali pada kira-kira jam 4.40 pagi berpusing-pusing dikawasan rumahnya. Lelaki tersebut dikatakan adalah suspek dalam kes ini  pegawai polis tersebut itu kemudian bergegas ke rumah arwah dan mendapati pintunya terbuka sebelum melihat arwah sedang bergelut dengan seorang lelaki yang memegang pisau lalu cuba memberi bantuan. Dalam keadaan kelam-kabut, lelaki tersebut menikam Ahmad Rizal dikaki, bahu dan belakang menyebabkan berlumuran darah, sebelum  dia melarikan diri. Ahmad Rizal yang dalam keadaan cedera ekoran pergelutan itu sempat melihat suspek menikam mangsa secara bertubi-tubi. Pegawai polis berkenaan kemudian memandu kereta persendiriannya ke balai polis Keningau dan meminta bantuan sebelum datang kembali bersama beberapa anggota polis yang lain menggunakan kereta persendirian Ahmad Rizal, sebelum di kejarkan ke Hospital Keningau untuk medapatkan rawatan kecemasan.

Walaubagaimana pun, terdapat keraguan dalam kes ini terutama keterangan yang diberikan oleh Ahmad Rizal. Berlakunya percanggahan antara laporan forensik dan juga laporan yang diberikan oleh Ahmad Rizal. Laporan yang dibuat oleh Ahmad Rizal mengatakan kejadian rompak telah berlaku pada awal pagi kejadian, akan tetapi tiada langsung sebarang tanda pecah masuk. 

Inspektor tersebut juga menyatakan arwah ada menghubungi beliau untuk meminta bantuan akan tetapi secara fakta tiada bukti panggilan daripada bil telefon arwah yang dikeluarkan oleh Digi bertarikh 1 September hingga 30 September 2011. 

Menurut pakar forensik Kota Kinabalu yang dinyatakan secara lisan kepada bapa arwah, En. Borhan memberitahu arwah telah meninggal kira-kira 3 jam awal sebelum arwah dihantar ke hospital pada pukul 5.30am pada 29 September 2011. Ini bermakna kejadian bunuh itu berlaku pada sekitar jam 2.30 pagi dan amat bertentangan dengan keterangan yang diberikan oleh Ahmad Rizal dari segi masa kejadian, iaitu dimana pada jam 4.40 pagi arwah kononnya membuat panggilan untuk meminta bantuan dan pada sekitar jam 5 pagi menghantar arwah ke hospital. Apatah lagi yang menghairankan Ahmad Rizal telah mengaku dirinya sebagai ahli keluarga arwah sedangkan mereka langsung tiada hubungan persaudaraan.

Menurut bil telefon Digi arwah, panggilan keluar telah dibuat melalui telefon bimbit arwah pada 29 September 2011 selepas kematian arwah dalam jam 10.30 pagi dan 16.47 petang dimana pada ketika itu arwah berada di kamar mayat manakala telefon bimbit tersebut berada dalam jagaan polis sebagai bahan bukti. Panggilan telah dibuat ke nombor 0138515934 dan 0138816607 (nombor telefon bimbit Ahmad Rizal). Persoalannya, bolehkah telefon bimbit tersebut digunakan sedangkan ianya berada dalam jagaan pihak polis sebagai salah satu bukti penting dalam kes ini? Siapakah yang menggunakan telefon bimbit arwah untuk membuat panggilan? 

Justeru, Inspektor Ahmad Rizal telah ditahan sebagai suspek dan juga telah ditahan reman selama 14 hari.  Namun demikian 6 bulan kini telah berlalu dan kes ini masih dalam siasatan. Memang diakui untuk menyelesaikan kes bunuh tidak semudah mana. Kita mungkin boleh meneka siapakah pembunuhnya tetapi  untuk membawa kes ini ke muka pengadilan memerlukan bahan bukti kukuh tambahan lagi yang terlibat ini ialah seorang pegawai polis. Terdapat juga kes lain yang senasib dengan kes arwah Kartini ini contohnya kes arwah Aminulrasyid Amzah, 15 yang mati ditembak polis. Belum pun kita habis bicara tentang kes ini timbul pula mangsa lain, Mohd Azizi Aziz, 17 dimana dia ditembak polis pada bahagian perutnya dan menyebabkan kematian. Kalau ya pun hendak menjalankan tugas, keganasan bukanlah jalan penyelesaian yang sesuai. Polis dibekalkan pistol untuk melindungi diri daripada penjenayah merbahaya yang cuba untuk menyerang polis semasa bertugas dan bukannya untuk menembak remaja yang tidak mempunyai senjata langsung. Tambahan lagi untuk melepaskan tembakan mesti ada "Standard Operating Procedure" (SOP) dan ada juga peringkat bila masa boleh tembak dan situasi. Lihatlah...Mereka inilah yang menjadi mangsa kekejaman manusia beruniform. Persamaan mereka dalam kes sebegini, sudah membunuh, mahu menutup kes pula dan maklumat pula disembunyikan.

Lebih mengecewakan lagi dimana terdapat pihak yang tidak tahu menahu tentang kes ini memutarkan belit cerita dan menyebarkan fakta yang tidak benar mengenai arwah dan berlagak tahu. Mereka sibuk memburukkan dan menghakimi arwah sedangkan mereka tidak sedar perbuatan tersebut juga tidak kurang jahatnya dengan membunuh. Untuk pengetahuan semua, arwah Kartini bukan pekerja kelab malam. Sepatutnya mereka harus bersyukur kerana masih boleh menikmati kehidupan dan masih mempunyai keluarga tersayang. Apakah mereka tidak pernah membayangkan jikalau mereka kehilangan salah seorang ahli keluarga tanpa kerelaan? Diharap pihak seperti ini sedar akan perlakuan mereka dan tidak kira berapa lama pun masa diambil arwah pasti akan mendapat keadilan.  



*klik gambar untuk saiz besar*


No comments:

Post a Comment