Monday 21 May 2012

Pegawai polis didakwa dalam kes bunuh Kartini

Siapa tahu "sepandai pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua"...

Pada 14 Mei 2012, Inspektor Ahmad Rizal Bin Umar telah didakwa di Mahkamah Majistret terhadap pertuduhan membunuh Kartini Borhan pada 29 September 2011. Walaubagaimana pun tiada pengakuan diambil dari tertuduh dimana dia diwakili oleh peguamnya, Ram Singh dihadapan Majistret Norhamizah Shaiffuddin.

Kes bunuh ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman gantung sampai mati jika membunuh dengan niat. Untuk pengetahuan anda jika tertuduh disabit kesalahan maka hukuman adalah mandatori.

Pegawai Pendakwa Jamil Aripin yang juga merupakan Peguam Kanan Persekutuan merangkap Timbalan Pendakwa Raya Sabah mendakwa tertuduh telah membunuh Kartini Borhan di sebuah rumah di Taman Adika, Keningau.

Mahkamah telah menetapkan 19 Jun 2012 sebagai tarikh sebutan akan datang. Tertuduh juga akan ditahan reman dipenjara Kepayan sehingga tarikh sebutan kedua dan ini adalah dibawah Seksyen 259, Tatacara Jenayah.

Ram Singh pula meminta mahkamah untuk mengasingkan tertuduh daripada penjenayah lain di penjara Kepayan kerana ada antara penjenayah dalam tahanan telah ditangkap oleh tertuduh semasa menjalankan tugasnya sebagai pegawai polis. Majistret berkenaan memberi jaminan bahawa pengasingan tersebut telah diamalkan dibawah undang-undang negara dan layanan sama tetap diberikan kepada Rizal.

Jika kita lihat dalam kes ini, Ram Singh adalah antara "top lawyer" di Sabah. Siapa tahu bagaimana dia akan mengendalikan kes ini untuk si tertuduh, Rizal. Apa pun Allah tetap diatas kita semua dan Dia lagi maha adil dan berkuasa.

Sumber akhbar :
1) Kes Bunuh Kartini, Pegawai Polis Didakwa - SabahKini
2) Bunuh : Pegawai Polis Dihadap Ke Mahkamah - New Sabah Times

No comments:

Post a Comment